Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai insiden itu kerana tidak berada di sana dan perlu mendapatkan laporan terlebih dahulu.

“Saya melihat insiden membaling bom asap itu melalui televisyen tetapi tidak tahu bagaimana boleh berlaku. Selain laporan daripada pihak pengurusan perlawanan, kami juga akan mendapatkan laporan daripada pengurus Pahang dan jurulatih yang berada di sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh enggan mengulas lanjut kerana tidak menyaksikan bagaimana insiden itu berlaku.

“Saya tidak nampak mengenai kejadian itu, apa yang saya hendak katakan perlawanan Pahang malam semalam (kelmarin) semuanya tidak menjadi. Daripada barisan pertahanan hingga pemain penyerang semua tidak menjadi, mungkin atas faktor keletihan tetapi semuanya tidak menjadi,” katanya.