Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Patriotisme: Sukan medium terbaik

KELMARIN, ‘Bangkit Bersama’ yang menjadi tema Sukan SEA Ke-29 (Kuala Lumpur 2017) bukan sekadar di atas kertas. Atlet-atlet Malaysia telah membuktikan, antaranya menerusi aksi hebat skuad bola jaring negara yang benar-benar menterjemahkan kata-kata tersebut.

Jika dua tahun lalu mereka tewas dalam aksi final penuh debar kepada pasukan tuan rumah, kali ini mereka bangkit dengan semangat ‘Rimau’ sehingga memukau lawan dan puluhan juta rakyat Malaysia.

Tiada siapa ‘mempedulikan’ bola sepak kelmarin, nama Datuk Ong Kim Swee dan bintangnya, Matthew Davies menjadi tidak penting seketika. Segala perhatian tertumpah kepada siaran langsung aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara, seolah-olah bola jaring sukan nombor satu negara.

Yang tidak pernah menonton bola jaring, juga terpaku di hadapan televisyen. Kerana mereka, ramai menjadi ‘pengulas segera’ hinggakan tahu apa itu GS, GA, C, WA, GD dan GK. Malah, kaum Adam bersorak sama dan adakala­nya lebih kuat daripada kaum Hawa bagi memberi sokongan moral kepada skuad kendalian Tracey Robinson itu.

Kita terpaku bukan kerana sekadar manisnya wajah penjaring-penjaring negara, tetapi keseluruhan aksi skuad tersebut yang benar-benar menyerlahkan satu kebangkitan secara bersama menerusi aksi bermati-matian.

Setahun Norashikin Kamal Zaman, An Najwa Azizan, Izyan Syazana Mohd. Wazir, L. Karishma dan yang lain berlatih bersama, bagaikan satu keluarga biarpun berbeza kaum dan negeri. Malah ada yang menangguhkan pengajian berkorban demi emas Sukan SEA bagi mengharumkan nama negara.

Kisah mereka jika digarap, bo­leh diangkat ke layar perak menjadi naskhah patriotisme sukan hebat yang menyatukan rakyat, setanding dengan filem Chak De! India, lakonan Shah Rukh Khan - filem fiksyen berdasarkan kisah kejayaan skuad hoki wanita India menjuarai kejohanan dunia.

Nyata, perjalanan hari pertama Sukan SEA selepas perasmian gilang-gemilang pada malam Sabtu cukup sempurna bagaikan diatur dengan emas bola jaring dan kemudiannya dilengkapi menerusi emas ragbi lelaki.

Kesungguhan pasukan ragbi bangkit bersama mempamer ak­si bermati-matian menebus keham­paan edisi-edisi lalu, se­tan­ding dengan Norashikin, An Najwa dan rakan-rakannya serta tidak lupa persembahan mengagumkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sememangnya tepat apabila Sukan SEA 2017 dianjurkan ketika mana negara menuju tarikh kemerdekaan kerana sukan ada­lah medium yang mampu membangkitkan patriotisme se­tanding sebuah peperangan. Pastinya, tanpa mengira acara, seluruh rakyat berdiri di sebalik lagu Negaraku yang berkumandang.

Memetik kata-kata bekas Pre­siden Afrika Selatan, Nelson Man­dela ketika mana negaranya menjuarai ragbi Piala Dunia 1995, sukan mampu menyatukan sebuah negara - mengatasi kuasa politik sebuah kerajaan. Sukan kata tokoh agung itu, ‘mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi’.

Semua ini akan mencapai penutup sempurna dalam menginjak detik kemerdekaan negara 31 Ogos, andai perjalanan gemilang di hari awal Sukan SEA disudahi kejayaan mencapai sasaran 111 emas, selain skuad bola sepak merangkul ibu segala emas. Ranjau berliku pasti menanti. Tetapi tiada mustahil buat Harimau Muda kita. Ayuh ‘Bangkit Bersama’. Lakukan untuk Negaraku Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain