Malah beliau menyerahkan nasib dua atlet yang didakwa melanggar perintah berkurung semasa kem Perhimpunan Atlet Sukan SEA 2017 itu kepada Marina untuk tindakan lanjut.

Beliau juga menegaskan telah menerima penjelasan atlet terbabit iaitu pemain badminton beregu campuran, Goh Soon Huat dan penjaga gol futsal wanita negara, Nur Izwani Azman.

“Kita mahu pemantauan atlet di kem tersebut dapat ditingkatkan agar insiden sama tidak berulang.

“Kita sudah dengar penjelasan mereka. Disiplin perlu diutamakan, jadi saya kepada Marina untuk pastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Meet & Greet Peserta MyCorps Asia Selatan Misi 1/ 2017, di sini hari ini.

Semalam, Soon Huat dan Nur Izwani tampil memberi penjelasan kepada persatuan sukan masing-masing setelah didakwa me­langgar perintah berkurung semasa kem Perhimpunan Atlet Sukan SEA 2017 di sebuah hotel di ibu negara pada hujung minggu lalu.

Lebih 700 atlet menyertai kem persiapan terakhir kontinjen negara dan sepanjang tempoh penginapan di hotel itu termasuk ketika temasya Sukan SEA bermula 19 hingga 30 Ogos ini, mereka tidak dibenarkan keluar selepas 11.30 malam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu pengguguran atlet pecut negara, S. Komalam Shally, Khairy menegaskan, keputusan itu diambil berdasarkan penilaian Jawatankuasa Teknikal yang menguruskan pemilihan atlet.

“Itu adalah kes disiplin dan keputusan dibuat berdasarkan kepada penilaian pengurus pasukan,” katanya.

Tambah Khairy, isu berkenaan tidak akan mengganggu prospek pingat dalam acara lari 200 meter wanita dan 4x100 meter wanita.