Temasya Rio akhirnya menutup tirai secara rasmi dalam upacara penuh warna warni awal pagi tadi, dan atlet negara melangkah di Stadium Maracana di depan lebih 45,000 penonton dengan perasaan luar biasa yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Ketua Kontinjen Malaysia negara, Dr Ang Kean Koo mengakui, kejayaan atlet paralimpik negara bukan sahaja telah memberi inspirasi kepada rakan-rakan seperjuangan mereka, malah kepada atlet normal dan rakyat negara ini.

“Secara peribadi sebagai Ketua Kontinjen, saya amat bangga dan gembira dengan pencapaian keseluruhan di Rio terutama pasukan olahraga.

“Prestasi atlet berbasikal, pelayaran dan ping pong juga memberangsangkan, lebih daripada apa yang saya harapkan.

“Acara lain seperti angkat berat, renang, memanah dan tenis berkerusi roda, kami akan gandakan usaha dalam latihan agar mereka dapat mencatat keputusan lebih baik pada temasya Paralimpik akan datang.

“Kita juga berharap pencapaian di Rio dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang kurang upaya supaya tidak mudah mengalah dan buktikan kemampuan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan jurulatih, terutama Majlis Paralimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) selepas mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod temasya 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing pada 2008.

Selepas itu, pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik 2012 di London, Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta rekod dunia dalam lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lontaran 16.84m untuk emas kedua negara.

Abdul Latif Romly meneruskan langkah cemerlang apabila meraih pingat emas ketiga Malaysia dengan memecahkan rekod dunia dalam lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) menerusi lompatan 7.60m.

Siti Noor Radiah Ismail melengkapkan aksi gemilang kontinjen negara dengan menghadiahkan gangsa menerusi lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) menerusi rekod baharu Sukan Para Asia menerusi lompatan sejauh 5.20m, mengatasi catatan rekod lama 5.10m.