Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, panel tersebut akan menilai secara terperinci dari segi struktur program serta kedudukan atlet di dalam program elit itu sebelum dikemukakan kepada pihak kementerian untuk tujuan penambah baikan.

Katanya, panel-panel bebas itu akan dipilih dalam kalangan mereka yang berpengetahuan serta berkemahiran luas dalam bidang sukan bagi membolehkan mereka mengkritik serta membuat penilai secara lebih telus mengenai Program Podium.

“Panel bebas ini akan terdiri daripada mereka yang tidak berada dalam struktur Program Podium atau mana-mana agensi, supaya penilaian dan kritikan yang dikemukakan itu lebih terbuka kepada semua.

“Saya berpendapat, kita memiliki pakar di dalam negara dan saya sendiri akan cadangkan kepada menteri supaya panel ini dipilih daripada pakar-pakar yang ada di dalam negara,” katanya selepas menghadiri Bengkel Post Mortem Program Podium di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Bengkel selama dua hari bertujuan mendapatkan pandangan daripada semua badan serta individu yang terlibat di dalam program latihan elit itu bagi tujuan memperbaiki kelemahan selain mencari pendekatan baharu untuk atlet terlibat bagi mencapai misi Tokyo 2020.

Sementara itu Lokman memberitahu, masih belum ada sebarang calon yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tim Newenham sebagai Pengarah Program Podium yang baharu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pihak kementerian lebih berminat untuk mengambil kepakaran yang sedia ada di dalam negara ini.

“Dr. Vella (Ketua Progam Podium, Dr. P. Vellapandian) akan terus kekal di dalam program ini dan sekiranya ada individu yang akan dilantik untuk mengetuai program ini, proses pemilihan akan dilakukan secara terperinci bergantung kepada kemahiran serta kepakaran yang dimiliki,” katanya.