Penerjun Sarawak itu mengumpul 349.15 mata selepas lima terjunan dalam aksi di Pusat Sukan Natatorium Wuhan, malam ini.

Pandelela yang bermula dengan tidak begitu baik, bangkit pada terjunan keempat untuk berada pada kedudukan ketiga sekali gus memenangi gangsa.

Pingat emas dan perak acara itu didominasi penerjun China, masing-masing melalui Zhang Jiaqi selepas mengutip 427.30 mata dan Ren Qian yang memperoleh 403.85 mata.

Kemenangan Pandelela itu merupakan pingat pertama diraih Malaysia pada edisi kali ini, selepas tiga hari kejohanan berkenaan membuka tirai.

Terdahulu, dalam saingan awal pada Selasa, Pandelela layak ke separuh akhir selepas berada di kedudukan ke-12 dalam kalangan 18 penerjun terbaik, dengan mengutip 295.70 mata.

Sementara di peringkat separuh akhir, hanya 12 penerjun terbaik mara ke final. Pandelela menamatkan saingan tersebut di kedudukan ketiga selepas mencatat 347.15 mata.

Pada hari keempat kejohanan esok, Pandelela akan bergandingan dengan juara dunia, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama, manakala seorang lagi penerjun negara, Ooi Tze Liang akan beraksi dalam saingan separuh akhir acara 3m papan anjal lelaki.

Tze Liang mara ke separuh akhir selepas mengumpul 398.55 mata daripada enam terjunan untuk berada di kedudukan ke-18 daripada 34 penerjun. Hanya 18 penerjun terbaik mara ke pusingan seterusnya, esok. - BERNAMA