PANDELELA RINONG (dua dari kiri) dan Cheong Jun Hoong meraikan kejayaan meraih pingat perak Siri Terjun Dunia FINA bersama pemenang emas, Chang Yani-Ren Qia dari China di Beijing, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu, yang menyambut ulang tahun ke-24 semalam menamatkan acara 10 meter platform seirama wanita di tempat kedua selepas mengumpul 316.08 mata pada hari pertama kejohanan.

Pandelela-Jun Hoong, yang merupakan pemenang pingat perak 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, tewas kepada pasangan pilihan dari China, Chang Yani-Ren Qia yang meraih emas dengan 340.26 mata.

Gangsa milik pasangan Korea Utara, Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae selepas mengumpul 313.92 mata.

“Meraih perak dalam acara seirama hari ini, sehari selepas hari jadi saya.

“Terima kasih kepada pasangan, Cheong Jun Hoong kerana menjadikan ia satu kenyataan.

“Selepas ini acara individu akan menunggu pada hari Ahad! Doakan saya,” kata Pandelela dalam Instagram, hari ini. - UTUSAN ONLINE