PETALING JAYA 13 April - Ratu terjun negara, Pandelela Rinong menyamai rekod selaku pemenang terbanyak apabila sekali lagi dipilih sebagai Atlet Terbaik dalam majlis anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus bagi edisi 2015, di sini malam ini.
Memenanginya untuk kali ketiga selepas 2010 dan 2012, dia kini berkongsi rekod tiga kemenangan dengan Datuk Nicol David (2005, 2007, 2014) dan bekas perenang negara Lim Keng Liat (1998, 2002, 2003).
Dengan kemenangan itu, Pandelela, merangkul trofi khas dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Pemenang pingat gangsa platform 10 meter Kejohanan Akuatik Dunia itu menewaskan dua pencabar terdekat, Datuk Lee Chong Wei (naib juara Kejohanan Badminton Dunia) serta Nicol, juara skuasy Terbuka Hong Kong, Kejohanan Asia dan Klasik Cleveland.
Namun anak jati Bau, Sarawak itu tidak dapat hadir menerimanya kerana sedang beraksi dalam Siri Terjun Dunia di Windsor, Kanada sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Rio, Ogos ini.
“Kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat saya untuk terus menjulang nama Malaysia,” katanya menerusi sidang video dalam majlis tersebut.
Dua lagi calon ialah pemenang pingat emas Kelas E Putra Kejuaraan Silat Dunia, Mohd. Al-Jufri Jamari dan juara taijiquan Wusyu Dunia, Loh Jack Chang.
Sementara iu. wartawan Malay Mail, Haresh Doel memenangi anugerah Siebel selaku pemenang penulisan sukan terbaik.