Prestasi konsisten yang dipamerkan kedua-dua atlet tersebut di peringkat antarabangsa meletakkkan mereka sebagai calon pilihan yang berpotensi untuk memenangi anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 beserta trofi dan sijil.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012, Pandelela, 23, yang merupakan penuntut Universiti Malaya (UM) berada dalam kelas tersendiri apabila meraih gangsa pada Kejuaraan Terjun Siri Dunia di Windsor, Kanada dan Kejuaraan Dunia FINA di Kazan, Rusia.

Hakimi pula mencuri tumpuan apabila memecah rekod kebangsaan dan rekod Sukan SEA di Singapura dalam acara lompat kijang.

Catatan 16.76 meter yang dilakukannya membolehkan atlet berusia 25 tahun itu memperbaharui rekod Sukan SEA, 16.67m, selain memadam rekod kebangsaan, 16.44m.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut menamatkan aksinya di kedudukan keempat pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan, dan meraih emas serta perak dalam beberapa pertandingan Trek Klasik di Australia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Anugerah Sukan Masum (ASM), Profesor Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, selain anugerah utama, kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Bintang Harapan, Pasukan Terbaik, Pengurus Terbaik dan Jurulatih Terbaik.