Dhabitah dan pasangannya Pandelela Rinong yang lebih senior menampilkan kebangkitan mengagumkan hari ini untuk meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama.

Pasangan negara itu memperoleh 298.80 mata, ketinggalan 37.86 mata di belakang gandingan dari China, Ren Qian-Si Yajie yang mendominasi kelima-kelima terjunan dari awal dengan 336.66 mata untuk pingat emas.

Pingat gangsa menjadi milik Tonia Couch-Lois Toulson dari Britain yang mengumpul 298.62 mata.

Dhabitah-Pandelela ketinggalan di tempat kelima selepas tiga terjunan namun aksi kemas ketika melakukan terjunan keempat membuatkan juri terpukau dan memberikan mata yang memboleh­kan mereka memintas ke tempat kedua, seterusnya mengekalkan kedudukan selepas tamat terjunan kelima.

“Saya sangat gembira de­ngan kejayaan ini. Ini merupakan pingat pertama saya dalam kejohanan dunia dan untuk tahun ini selepas mengharungi empat siri dunia.

“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk saya terus mempamerkan aksi lebih cemerlang dalam kejohanan seterusnya. Terima kasih kepada jurulatih, ibu bapa, rakan dan semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dhabitah digandingkan dengan Pandelela selepas Cheong Jun Hoong mengalami kecederaan tulang belakang.

Kedua-dua mereka akan meneruskan saingan dalam acara 10m platform individu.

Kejohanan yang berlangsung dari 21-23 April di Kanada itu adalah siri terakhir dalam Siri Terjun Dunia FINA untuk tahun ini.