Pandelela Rinong
Pandelela Rinong

Bersaing dalam acara 10m platform individu dan 10m platform seirama, atlet berusia 23 tahun itu mengakui dia tidak gusar dengan saingan yang bakal dihadapinya di Brazil sebaliknya percaya dia mampu melakukan terjunan yang baik bagi membawa pulang pingat.

Dia mengakui saingan dalam acara individu lebih sukar kerana bilangan atlet yang ramai berbanding acara seirama namun tetap menganggap kedua-dua acara itu sangat penting buat dirinya.

“Saya akan menggunakan segala pengalaman yang diraih semasa menjalani latihan di China selama dua bulan.

“Acara terjun sukar diramal, selagi saya tidak melakukan kesilapan dan berjaya melaksanakan rutin dengan baik, saya percaya peluang untuk meraih pingat itu ada kerana hanya satu kesilapan kecil, impian untuk meraih pingat akan musnah,” katanya.

Di atas kertas, Malaysia berpeluang meraih pingat dalam acara 10m platform individu namun sekiranya mahu meraih pingat emas, Pandelela perlu mengatasi wakil China, Ren Qian dan Si Yajie selain wakil Kanada, Meaghan Benefeito serta Roseline dan wakil Korea Utara, Kim Kuk Hyang yang meraih pingat emas di Kejohanan Dunia Kazan tahun lalu.

Pandelela juga yakin gandingannya dengan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama berpeluang cerah untuk membawa pulang pingat meskipun bakal menerima tentangan sengit daripada atlet China, Kanada, Great Britain dan Korea Utara.

“Ramai orang melihat kami mempunyai peluang dalam acara ini kerana saingan ini hanya ada lapan pasangan sahaja namun saingan sudah pasti menjadi sangat sengit.

“Gandingan kami semakin serasi dan kami sedang memberi tumpuan dalam memperbaiki kelemahan-kelemahan kecil untuk memastikan kami dapat memberikan aksi terbaik dalam acara ini,” katanya.

Di dalam acara 10m platform seirama, pasangan China, Chen Ruolin-Liu Huixia merupakan pilihan utama untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik 2016 kerana mereka tidak pernah tewas dalam mana-mana kejohanan sejak tiga tahun lalu.