Dua atlet berkenaan, masing-masing dari Terengganu dan Kedah digantung enam serta lapan bulan, selain diberi amaran keras oleh Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) kerana mengambil sibutramine, bahan yang biasanya terkan­dung dalam ubat diet dan pelangsing badan.

Setiausaha Persatuan Memanah Terengganu, Mohd. Zamzaini Zolkeffi yang mewakili atlet terbabit dalam pendengaran kes hari ini berkata, perkara itu berlaku akibat kecuaian atlet tersebut yang tidak mengetahui kesan ubat yang diambil.

“Saya sudah jelaskan segalanya hari ini. Atlet tersebut me­ngaku mengambil dadah sibutramine dan tidak mencabar ujian sampel A kerana dia tidak tahu bahawa pengambilan ubat itu akan memberikan masalah.

“NAAM telah memberi kelonggaran untuk kita buat rayuan. Kami hanya menunggu surat rasmi sebelum membuat tindakan lanjut.

“Selepas ini, kami akan berjumpa atlet berkenaan dan minta dia terus bergiat dalam memanah, sambil melupakan apa yang telah berlaku dan jadikan ia pengajaran,” katanya.

Ini adalah kali pertama atlet memanah terpalit dengan isu doping.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini mengeluarkan arahan dengan memberi tempoh hingga semalam untuk empat atlet Sukma 2016 yang disahkan positif doping untuk menjawab dakwaan.

Setakat ini, atlet ang­kat berat Pahang, Khairul Anuar Mohamad bersama dua pemanah yang tidak didedahkan identiti mengaku bersalah, manakala identiti dan jawapan seorang petinju belum didedahkan.

Khairul disahkan positif ste­roid dan petinju terbabit pula positif diuretics. Keempat-empat atlet terlibat adalah pemenang pingat di Sarawak.

Sementara itu, Penolong Pe­ngurus Persatuan Memanah Kedah, Mohd. Asri Ghazali yang mewakili atlet negeri tersebut memberitahu, pihak tertentu tidak seharusnya menu­ding jari kepada persatuan negeri apabila timbul masalah ini.

“Pada pendapat saya, pihak di mana atlet itu menjalani latihan perlu bertanggungjawab dengan memantau aktiviti atlet kerana perkara ini berlaku di kawasan mereka.

“Perkara ini berlaku pun kerana ada jabatan tertentu terlepas pandang dan tidak seharusnya berlaku ‘tuding jari’ kepada orang lain apabila jadi begini.

“Harapan saya cuma mahu melihat atlet berkenaan bangkit kerana dia masih muda dan perjalanannya masih jauh. Pihak persatuan mahupun jabatan berkenaan perlu mengambil berat terhadap perkembangan atlet ini,” jelasnya.