Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, keputusan itu diambil kerana PABM mahu memulihkan imej dan reputasi sukan angkat berat Malaysia yang dicemari empat kes atletnya gagal dalam ujian doping sepanjang tahun ini.

“Kami bertanggungjawab dan perlu memulihkan reputasi, dan bukannya kerana bimbangkan risiko PABM digantung IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa jika kes doping semakin melarat). Sebelum ini pun tiada amaran sebegitu.

“Kami juga hendak memastikan sukan ini kembali diminati masyarakat. Inilah keputusan yang saya yakin, setelah dibincangkan secara mendalam, terpaksa dilakukan demi kepenti­ngan dan masa depan persekutuan dan sukan ini.

“Kami harap dengan ketegasan ini akan memberikan isyarat yang cukup jelas kepada MSN (Ma­jlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan IWF bahawa PABM bertanggungjawab dan cukup sensitif dengan kes do­ping,” katanya.

Penegasan itu dinyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama PABM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini hari ini sejak menang tanpa bertanding dalam pemilihan penggal 2018-2020, menggantikan Datuk Ong Poh Eng yang berundur 12 Mei lalu.

Tiga kes doping terbaharu yang disahkan IWF melibatkan Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos pada 17 Mei lalu yang positif mengambil dadah jenis Stanozolol.

Sebelum itu, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad turut didapati positif bahan Stanozolol sebelum menyertai kategori bawah 85 kilo­gram dalam temasya ke-21 itu.

Tegas Ayub, PABM lebih memikirkan masa depan angkat berat berbanding individu demi menyelamatkan sukan itu daripada terkubur kerana tiada gunanya jika hanya meraih pingat emas yang akhirnya ditarik balik kerana gagal dalam ujian doping.

Katanya, tindakan drastik PABM yang kedua dalam mena­ngani kes doping ialah menubuhkan jawatankuasa bebas antido­ping yang dianggotai wakil bebas dari ISN dan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas).

“Tujuannya adalah untuk mendapat satu gambaran keseluruhan berkaitan kes doping yang berlaku selain membentangkan laporan cadangan dalam tempoh tiga bulan mulai mesyuarat ini. Kajian jawatankuasa ini juga diperlukan supaya angkat berat kembali dimasukkan ke dalam Program Sukan Teras,” katanya.

Tindakan terakhir jelasnya ialah mewajibkan atlet yang mahu menyertai kejohanan tempatan dan kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19, September ini menjalani ujian antidoping di Adamas dan mendapatkan sijil kelulusan terlebih dahulu.

Selain itu, Ayub turut meng­umumkan bahawa PABM me­lantik Roslan Othman sebagai Setiausaha Kehormat baharunya dan bekas pemang­ku jawatan itu, Abu Hanapah Ismail selaku Bendahari.