Jika sebelum ini, tiada tekanan yang terpaksa dihadapi­nya, kini semua mata bakal tertumpu kepada pemain Jepun berusia 21 tahun itu sama ada dia mampu mengulangi kecemerlangannya pada kejohanan yang dijadual bermula 14 Januari ini.

Ada juga timbul kebimbangan, Osaka mungkin ditenggelami dengan perhatian yang berlebihan, di sini, walaupun, setakat ini dia dilihat berjaya mengendalikan perkara tersebut dengan baik.

Turun dengan status sebagai pemain No. 4 dunia berbanding penyertaannya, tahun lalu yang menghuni ranking ke-68 dunia, Osaka yang menewaskan Serena Williams dalam perlawanan akhir Terbuka AS mengakui, tumpuan yang bakal diterimanya kali ini pasti berbeza.

“Saya tidak pernah berasa tertekan untuk beraksi. Saya cuma mahu berseronok terutama dalam kejohanan Grand Slam. Cuma saya selalu berasakan tahap tekanan itu datang daripada dalam diri saya sendiri,” katanya.

Osaka yang sudahpun berada di Melbourne turut mendapat perhatian pemain Australia yang juga juara Terbuka AS 2011, Samantha Stosur memuji cara Osaka mengendalikan status bintangnya sambil menjangkakan kejayaan akan terus mewarnai karier pemain muda tersebut.

"Saya kagum dengan Naomi, cara dia menjuarai Terbuka AS dan kemudian pergi ke Asia dan layak ke final di Tokyo. Jika dia masih boleh beraksi dengan baik di Tokyo, saya pasti dia juga mampu berbuat demikian di sini,” kata Stosur. – AFP