Dhabitah bakal beraksi dalam acara 10 meter platform individu wanita dan 3 meter papan anjal serirama wanita bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong berkata, tidak semua atlet berpeluang untuk me­nyertai temasya terbesar itu pada usia muda sekali gus memberi kelebihan untuk melebarkan sayapnya sebagai penerjun negara.

“Ini kali pertama penampilan saya di Temasya Olimpik. Saya fikir penyertaan pada Sukan Olimpik Rio ini sebagai batu loncatan untuk diri saya sebab kalau difikirkan semula tidak semua atlet mempunyai peluang seperti yang saya ada sekarang.

“Belum rasa lagi (tekanan) sebab hari pertandingan belum tiba tapi sudah pasti ada rasa gementar. Saya fikir semua atlet akan rasa begitu. Gementar ada, teruja pun ada untuk beraksi dalam Sukan Olimpik di Brazil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dhabitah, 17, melakukan latihan intensif selama empat bulan di China bersama skuad terjun negara mensasarkan untuk mendapatkan pingat dalam acara 3 meter papan anjal serirama wanita bersama gandingannya, Jun Hoong tanpa menetapkan sebarang warna.

“Kalau dilihat kepada peluang, saya berpotensi untuk memenangi pingat dalam acara 3 meter papan anjal serirama wanita bersama gandingan saya, Jun Hoong.

“Ini adalah kerana, bagi acara 10 meter platform individu wanita pencabar yang dihadapi sangat hebat terutamanya dari China. Kebiasaannya tempat pertama dan kedua di dominasi oleh mereka manakala tempat ketiga peluangnya 50-50,” katanya lagi.

Pada Temasya London empat tahun lalu, bagi acara 10 meter platform individu wanita menyaksikan penerjun dari China, Chen Ruolin memenangi pingat emas, Brittany Roben mendapat perak dan tempat ketiga menjadi milik ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Dalam pada itu, Dhabitah berkata, meskipun tahun ini dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), situasi tersebut tidak menjejaskan persiapannya bagi menghadapi Temasya Rio.

“SPM tidak mengganggu persiapan sebab saya menghadapi Sukan Olimpik terlebih dahulu sebelum mengambil peperiksaan SPM,” katanya lagi.