Itulah yang boleh digambarkan mengenai edisi ke-23 Sukan Olimpik Musim Sejuk yang membuka tirai secara rasmi di Korea Selatan hari ini.

Sesetengah acara sudah bermula tetapi upacara pembukaan yang berlangsung di Stadium Olimpik Pyeongchang malam ini paling dinanti kerana ia adalah simbolik kepada pembukaan rasmi temasya 9 hingga 25 Februari itu.

Hampir 3,000 atlet dari 93 buah negara bakal berentap untuk merebut 102 pingat emas dalam 15 sukan.

Daripada penyertaan atlet Rusia yang dipalit skandal doping, tipuan angin Siberia yang bakal menjadikan Pyeongchang 2018 temasya paling sejuk dalam sejarah sehinggalah kepada penyertaan Korea Utara, semua menjadi tumpuan.

Bagi Malaysia, Olimpik Musim Sejuk 2018 memahat sejarah apabila muncul antara enam negara yang bakal membuat penampilan sulung dengan menampilkan Jeffrey Webb, 18, (alpine ski) dan Julian Yee (figure skating).

Julian, 21, yang menjadi atlet pertama Malaysia melayakkan diri ke temasya berkenaan menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan.

“Saya teruja, takut dan gembira. Perasaan itu berubah-ubah hampir setiap hari, terutama apabila temasya semakin hampir,” kata Julian baru-baru ini.

Apabila Korea Selatan dianugerah hak tuan rumah pada 2011, ramai yang meramalkan jiran dan pesaing mereka, Korea Utara tidak akan hadir.

Begitupun Korea Utara bukan sahaja akan menghantar pemimpin, malah kontinjen yang mengandungi 22 atlet.

Namun, penganjur pe­ning kepala untuk mengelakkan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence daripada bertembung de­ngan adik pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, Kim Yo Jong apabila kedua-dua hadir menonton upa­cara pembukaan.

Kehadiran Korea Utara bagaimanapun mencetuskan protes dalam kalangan segelintir rakyat Korea Selatan, sekali gus memaksa penganjur memperketatkan kawalan keselamatan bagi mengelak rusuhan. – AGENSI