M. Ramachandran, Zaki Sadri, P. Jayanthi, Wong Tee Kui, P. Ravindrean, Nur Herman Majid, Arjan Singh, Cheng Tong Lean, Low Chwee Peng, R. Thangavelu dan rangkaian 4x400 meter wanita merupakan wira dan wirawati olahraga yang mengumandangkan Negaraku dengan kalungan emas mereka.

Paling membanggakan ialah dua emas milik Ramachandran dalam 5,000 dan 10,000 meter, P. Jayanthi (3,000 dan 10,000 meter wanita) serta Mohd. Zaki Sadri yang mengulangi emas berganda lompat kijang dan jauh seperti temasya Manila 1991.

Boling pula berbangga dengan kejayaan Ng Yiew Hup, Jimmy Lee, Shirley Chow, Lisa Kwan, Sharon Low sementara taekwondo dan karate turut menyambar enam emas menerusi R. Rajendren, S. Krishnan, Sarah Chung, pasukan kumite lelaki, Johnny Chong dan M. Vasudevan.

Secara solo, Lisa yang paling menyerlah dengan mengumpul tiga emas menerusi acara master boling setelah menjatuhkan 3,204 pin selain bersama Shirley Chow dan Sharon Low serta Shalin Zulkifli, memenangi acara lima sepasukan dan trio wanita.

Jeffrey Ong terus mempertahankan dua emas 400 dan 1,500 meter gaya bebas akuatik renang lelaki sambil dua lagi emas diraih pesilat, Roslan Hamid dan Wan Adnan Wan Isa masing-masing dalam Kelas E dan F Putra.

Tidak ketinggalan dengan satu emas masing-masing daripada hoki lelaki, golf, sepak takraw, pelayaran, berbasikal dan badminton serta gimnastik.

Berpengalaman sebagai juara beberapa edisi lalu, M. Kumaresan tampil sebagai penyelamat maruah skuad berbasikal dengan sebutir emas 140 kilometer lebuh raya menerusi gandingannya dengan Mohd. Paidi, Shahrul Neeza Razalli dan Tsen Seong Hoong.

Namun paling mengecewakan ialah terkandasnya skuad bola sepak buat kali kedua untuk ke separuh akhir sejak Manila 1991 apabila pasukan pimpinan Ahmad Yusoff itu disekat oleh Myan­mar 2-1 dan Thailand 2-0 dalam Kumpulan A biarpun mudah membenam Brunei 3-1 dan Laos 9-0.

Begitu juga skuad hoki wanita yang kempunan emas untuk melengkapkan kejayaan skuad lelaki dan sekadar mampu berpuas hati dengan sebutir perak akibat dikejutkan Singapura menerusi penentuan penalti strok 4-3 selepas terikat tanpa jaringan.