Malaysia, yang turut memenangi satu perak dan tujuh gangsa di Stadium Nasional hari ini, meletakkan sasaran untuk memenangi 40 pingat emas dari olahraga dengan persaingan berbaki tiga hari.

Pingat emas hari ini mula dituai menerusi Eddy Bernard yang mengungguli saingan akhir lompat jauh T37 (cerebral palsy) selepas mencatat lompatan sejauh 5.76 meter (m).

Eddy berkata, kunci kemenangannya adalah sentiasa tenang serta beraksi seperti melakukan latihan.

“Saya tidak tertekan untuk mendapatkan pingat emas kedua selepas meraih pingat emas dalam acara 100m T37 semalam.

“Pingat emas kedua saya ini membuatkan saya mahu mencipta lebih banyak kecemerlangan buat Malaysia,” kata atlet berusia 16 tahun itu.

K. Hemala Devi Eni menjadi penyumbang pingat emas kedua hari ini menerusi acara melontar peluru F11/12 (masalah penglihatan) wanita sebelum Mohamed Erwan Mohd. Hasnoor memenangi saingan akhir acara lompat jauh T38 (cerebral palsy) lelaki.

Skuad olahraga negara turut menguasai perlumbaan 400m apabila memenangi tiga pingat emas acara tersebut menerusi Muhammad Zulhaizat Zainal Abidin dalam kategori T13 (masalah penglihatan), Nasharuddin Mohd. T20 (masalah pembelajaran) dan S. Thavanesvaran, T44 (masalah anggota badan).

Baki dua lagi pingat emas daripada lapan yang diraih pada hari kedua pertandingan diperoleh menerusi Muhamad Ashraf Muhammad dalam acara 800m T46 (kekurangan anggota badan) dan Umi Syuhadah Idris yang mengungguli saingan akhir lontar peluru T37 (cerebral palsy) wanita.

Sebanyak 29 pingat emas lagi bakal ditawarkan pada hari ketiga pertandingan esok.