Atlet kelahiran Batu Gajah, Perak itu bukan sahaja memahat sejarah sukan tanah air apabila muncul penerjun pertama memenangi emas Kejohanan Dunia, malah mengetepikan dua calon pilihan dari China iaitu juara 2013, Si Yajie dan rakan senegaranya yang juga juara Olimpik, Ren Qian.

“Oh Tuhan, saya juara dunia!. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Ini pingat emas pertama buat Malaysia dalam Kejohanan Dunia dan ia amat tidak diduga serta sukar dipercayai.

“Saya mengharapkan pingat tetapi saya tidak menjangka mampu mengalahkan penerjun China.

“Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan hanya melihat papan markah selepas Yajie melengkapkan terjunan terakhirnya, dan ketika itu barulah saya tahu saya sudah menang,” kata Jun Hoong kepada pemberita.

Jun Hoong, 27, mempamer terjunan konsisten untuk mengumpul 397.50 mata, hanya 1.5 mata dibezakan dengan Yajie. Qian sekadar berpuas hati membawa pulang gangsa menerusi 391.95 mata.

Seorang lagi penerjun negara yang juga pasangan Jun Hoong ketika meraih pingat gangsa 10m platform seirama, Ahad lalu iaitu Pandelela Rinong menamatkan saingan di tangga kesembilan dengan 322.40 mata.

Kejayaan Jun Hoong, yang turut meraih pingat perak Sukan Olimpik bersama Pandelela dalam 10m platform seirama, tahun lalu bukan sahaja mengejutkan dirinya, malah turut mengejutkan Yajie, yang mengakui tidak pernah menyangka penerjun Malaysia akan memenangi acara berkenaan.

“Kemenangan Cheong (Jun Hoong) agak mengejutkan saya, apa pun tahniah diucapkan kepadanya,” kata Yajie, yang telah memenangi tiga kejuaraan dunia pada usia 18 tahun.

Atlet wanita China telah menguasai acara terjun pada Kejohanan Dunia sejak ia diperkenalkan di Madrid pada 1986 apabila memenangi tujuh daripada 12 emas dalam saingan 10m platform wanita.

Ini kali kedua berturut-turut mereka gagal membawa pulang emas acara berkenaan selepas penerjun Korea Utara, Kim Kuk-hyang muncul juara di Kazan, dua tahun lalu.

Kuk-hyang bagaimanapun hanya mampu menduduki tangga keempat di Budapest.