Penembak kelahiran Perak berusia 18 tahun itu nyata cukup terkejut dan mengalirkan air mata gembira apabila mendapat tahu keputusan tersebut di La­pang Sasar Menembak Sarawak di sini hari ini.

Dengan membidik 415 mata, anak seorang penjual nasi ayam itu meraih pingat emas dan memadam rekod lama temasya 409.8 mata milik penembak Johor, Nur Ain Kumari yang dilakar di Perlis dua tahun lalu.

Pingat perak menjadi milik Nur Syahirah Ahmad Nadzrinur dari Selangor (409.9 mata) manakala gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Nur Izazi Rosli (409.3).

Nur Fatin ketika ditemui pemberita berkata, sukar untuknya menggambarkan perasaan gembira yang dirasakan pada ketika ini.

“Saya memang tidak menduga sama sekali berjaya merangkul pingat emas kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai acara individu.

“Ketika Sukma Perlis dua tahun lalu saya meraih pingat perak untuk 10m air rifle berpa­sukan wanita, tetapi saya tidak menyertai acara individu, tak sangka percubaan pertama terus menang emas,” katanya.

Menjadikan jaguh kebangsaan Nur Suryani Mohd. Taibi sebagai idolanya, Nur Fatin menyimpan impian untuk mewakili negara jika diberi kesempatan pada satu hari nanti.

Ketepatan bidikan Nur Fatin turut membantu Perak meraih emas dalam acara berpasukan sambil memecahkan satu lagi rekod kejohanan.

Catatan 1,227 mata sudah memadai untuk menyingkirkan rekod lama yang dipegang skuad Selangor iaitu 1,216.1 mata yang dicipta dua tahun lalu.

Sementara itu, untuk acara 50m free pistol individu lelaki, emas dimenangi penembak Pahang, Abdul Hadi Abd. Malek yang mengumpul 534 mata, manakala Selangor memenangi acara berpasukan dengan 1,555 mata.