Menurut laman web rasmi kejohanan, www.fina.org, mereka berada di kedudukan keenam dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita selepas mencatatkan 285.00 mata dalam aksi di Pusat Akuatik London.

Bagaimanapun, kedua-dua penerjun itu dilihat berusaha gigih untuk berada pada kedudukan tersebut selepas menduduki tangga tercorot dalam pertama dengan hanya merekodkan 45.60 mata.

Prestasi Nur Dhabitah-Wendy bertambah baik apabila naik satu anak tangga selepas terjunan kedua dengan mata terkumpul 91.20.

Aksi Nur Dhabitah-Wendy semakin konsisten pada terjunan ketiga hingga kelima mereka kekal di tangga keenam keseluruhan.

Pingat emas acara itu milik pasangan Australia, Maddison Keeney-Anabella Smith dengan 323.70 mata manakala perak dan gangsa masing-masing diraih Chang Yani-Lin Shan dari China (316.77) dan Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu dari Kanada (306.45).

Terdahulu, gandingan penerjun muda, Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin berada di kedudukan tercorot iaitu tempat kelima dalam acara 10m platform seirama lelaki selepas mencatatkan 364.98 mata.

Penerjun tuan rumah, Thomas Daley-Matthew Lee dengan 477.90 mata meraih pingat emas. Pingat perak dimenangi oleh Lian Junjie-Yang Hao dari China (459.00) dan gangsa pula milik Viktor Minibaev-Aleksandr Bondar dari Rusia (448.50).

Penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee akan bergandingan dengan Hanis Nazirul dalam acara 10m platform seirama campuran pada pukul 5 waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia), hari ini.

Selepas empat Siri Terjun Dunia, skuad terjun negara masih gagal meraih sebarang pingat. - BERNAMA