Daripada ulasannya, Norza seolah-olah menegaskan bahawa beliau mempunyai hak untuk mengisi kerusi Presiden BAM bagi penggal 2017-2021, menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif.

“Mandat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan BAM yang diberikan Tengku Mahaleel kepada saya merupakan satu proses untuk menyediakan saya sebagai presiden,” katanya.

Norza yang juga Timbalan Pre­siden Majlis Olimpik Malay­sia (MOM) ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawa­­­­­tankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Ditanya sekiranya ada pihak yang enggan mematuhi perjanjian itu dan masih mahu merebut jawatan presiden, Norza berkata: “Saya sudah bersedia memegang jawatan presiden (namun) saya harap kemelut ini dapat diselesaikan sebaik mungkin.”

Menurut ‘gentlemen’s agreement’ itu, Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Majid akan memangku jawatan No. 1 itu hingga tamat Sukan Olimpik Rio atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada dan selepas itu perlu memberikan laluan kepada Norza untuk menggantikan Tengku Mahaleel yang kini berehat daripada tugas itu kerana masalah kesihatan.

Al Amin bagaimanapun berkata tidak tahu menahu mengenai perjanjian itu dan beliau mahu jawatan presiden dipertan­dingkan.

Norza berkata, demi menjaga keharmonian dalam BAM dan dalam kalangan persatuan gabungan, beliau akan cuba menyelesaikan isu itu secara baik dengan Al Amin.

“Saya sedia duduk (berbincang) bersama Tan Sri Al Amin sebelum mesyuarat Majlis BAM pada 8 April kerana kami tidak mahu meletakkan ahli-ahli gabu­ngan terutama di peringkat negeri ber­ada dalam keadaan serba salah.

“Sebagai pemimpin Persatuan Badminton Malaysia, kami seboleh-bolehnya mahu mengekalkan tradisi tiada pere­butan jawatan yang akhirnya akan menjerumuskan organisasi tersebut dalam keadaan tidak menentu atau tidak baik.

“Ini merupakan perkara dalaman yang sensitif dan harus diselesaikan secara dalaman. Tiada perkara yang mustahil dan BAM perlu dilihat berjaya mengekalkan reputasi dan tradisi sebuah persatuan yang ditadbir dengan baik,” katanya.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa supaya individu terlibat dalam ‘gentlemen’s agreement’ itu agar jujur dan menghormati apa sahaja yang dipersetujui walaupun perjanjian itu tiada hitam putih.

Sementara itu Norza mengingatkan Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew bahawa beliau sepatutnya menjadi pihak berkecuali dan tidak boleh mendahului pihak Majlis dalam isu bakal pengganti Tengku Mahaleel.

Norza menegaskan Lawrence tidak berhak bercakap bagi pihak Majlis dengan menyatakan Jawatankuasa Eksekutif boleh memutuskan sama ada perlu mematuhi ‘gentleman’s agreement’ atau membuat keputusan bahawa jawatan Presiden BAM perlu dipertandingkan.

“Saya rasa dalam keadaan kemelut begini, orang sepertinya harus bersikap berkecuali, di samping itu kita harus menghormati pendapat Presiden, Penaung Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin,” katanya.

Lawrence, pada Ahad lalu berkata keputusan sama ada akan berlaku pertandingan untuk jawatan presiden terletak di tangan Exco BAM.

Katanya, meskipun wujudnya ‘gentlemen’s agreement’ berhubung siapa yang akan menduduki kerusi No.1 badan induk badminton negara itu, namun segalanya-galanya akan diputuskan oleh barisan Exco.

“Sebelum ini Tan Sri (Mohamed Al Amin Abdul Majid) memberitahu dia menyerahkan segala-galanya kepada Exco dan bagi saya perkara ini sangat terbuka.

“Bagaimanapun, saya sukar untuk membuat ulasan mengenai perkara ini kerana bukan di bawah bidang kuasa saya,” katanya.