Murray, yang juga pemain nombor satu dunia dan naib juara tahun lalu, mudah menyingkirkan Karen Khachanov dari Rusia 6-3, 6-4, 6-4.

Namun, di sebalik mengulas mengenai perlawanan berkenaan dalam temubual de­ngan stesen televisyen di gelanggang, Murray mengambil kesempatan itu untuk mengingati 29 mangsa yang maut dalam keganasan di London dan Manchester.

“Jelas sekali terdapat tragedi dahsyat di London dan Manchester. Paris juga mempunyai masalah sejak beberapa tahun ini.

“Saya pasti semua orang akan menyertai kami, kita berkongsi pendapat dan berdoa ke atas semua mangsa yang terlibat.

“Saya amat menghargai semua peminat yang masih keluar untuk memberikan sokongan kepada tenis. Saya bersyukur kerana masih dapat beraksi di depan semua orang,” katanya.

Dalam suku akhir, Murray dijadual menentang pilihan kelapan dari Jepun, Kei Nishikori yang menewaskan pemain ber­usia 33 tahun Fernando Verdasco dari Sepanyol 0-6, 6-4, 6-4, 6-0.

Sementara itu, Nishikori berkata dia telah melupakan kekecewaan kalah kepada Murray dalam Terbuka Amerika tahun lepas.

“Maaf saya tidak ingat banyak. Anda tahu apabila kami bermain, perlawanan sentiasa sengit.

“Ya, pasti akan menjadi sesuatu yang sukar. Kami telah bermain banyak kali. Dia (Murray) pemain yang hebat dan sangat pintar. Tidak pernah mudah, dan saya fikir minggu ini dia telah bermain dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Wawrinka yang juga pilihan ketiga me­nempah tempat ke suku akhir buat kali keempat selepas menundukkan pemain tuan rumah Gael Monfils yang juga wakil terakhir Perancis dalam undian utama 7-5, 7-6 (9/7), 6-2. – AFP