Bermula pada 1956 ketika menggunakan nama Malaya di Melbourne, Malaysia sekadar melengkapkan penyertaan sehinggalah pada 1992 ketika badminton dijadikan acara pertunjukan di Barcelona dengan pasangan Razif dan Jalani Sidek memenangi gangsa, yang merupakan pingat pertama negara.

Pencapaian itu diperbaiki lagi di Atlanta, Amerika Syarikat pada 1996. Beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan harapan utama negara, Rashid Sidek masing-masing membawa pulang sebutir pingat perak dan gangsa.

Namun, Malaysia pulang ‘tangan kosong’ dalam temasya Sydney 2000 dan Athens 2004 sebelum Lee Chong Wei nyaris membawa pulang pingat emas di Beijing 2008 sebelum akur dengan sekadar membawa pulang perak.

Empat tahun kemudian di London 2012, Chong Wei sekali lagi pulang dengan pingat perak tetapi kali ini ‘ditemani’ pula Pandelela Rinong yang memenangi gangsa dalam acara terjun.

Rio de Janeiro 2016 menampakkan sinar yang lebih gemilang apabila Malaysia meraih empat perak dengan badminton sekali lagi menguasai pentas juga menerusi Chong Wei bersama beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chang Peng Soon-Goh Liu Ying, selain gandingan Pandelela-Cheong Jun Hoong (perak) terjun 10 meter platform berpasangan.

Yang lebih mengembirakan Malaysia menambah kejayaan apabila buat kali pertama memenangi pingat lumba basikal hasil kayuhan Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

Itulah rekod dan pencapaian terakhir negara menjelang temasya berikutnya di Tokyo. Bermakna pada keseluruhannya Malaysia sudah memenangi tujuh pingat perak dan empat gangsa sepanjang temasya itu. Cuma pingat emas yang belum menjelma.

Kini, kita masih mempertaruhkan sukan yang sama - badminton, lumba basikal dan terjun sebagai acara yang berpeluang memenangi pingat emas.

Tidak ada jalan mudah untuk Malaysia memenangi emas ketika negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam sudah memahat nama dalam senarai pemenang emas.

Harap-harap beberapa program yang diatur, termasuk Program Podium mampu membuahkan hasil. Kita tidak mahu lagi hanya bermegah dengan pencapaian Sukan SEA apatah lagi selepas berbelanja besar. Kita bersembang tentang Sukan Olimpik. Bangkitlah Malaysia!