Nicol, 32, turut merampas Anugerah Perdana Piala Yang Dipertua Negeri yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada tahun 2013, selain meraih Olahragawati Negeri dan Pasukan Wanita terbaik bersama Low Wee Wern dan Vanessa Raj.

Bagaimanapun, Nicol tidak hadir dan diwakilinya bapanya, Desmond David untuk menerima trofi berkenaan yang disampaikan oleh Tun Abdul Rahman Abbas di sebuah hotel di Seberang Jaya di sini, kelmarin.

Nicol masih berada di Hull, England selepas menyertai Terbuka Britian 2015 yang menyaksikan kemaraannya tersekat pada separuh akhir.

Sebelum ini, Nicol telah enam kali menerima Anugerah Perdana berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan juara Asia itu dalam setiap kejohanan yang di­sertainya.

Sementara itu, atlet terjun lelaki negara, Tze Liang, 22, yang memenangi pihak emas Sukan Komanwel tahun lalu juga tidak hadir kerana sedang menjalani latihan di China untuk persiapan Sukan SEA Singapura, bulan depan dan Kejohanan Dunia di Kazakstan.

Menurut bapanya, Ooi Hong Chen berkata, anaknya kini sedang fokus untuk melakukan terjunan terbaik pada Kejohanan Dunia bagi memburu mata ke Sukan Olimpik di Rio De Jeneiro, Brazil pada tahun depan.

Mereka berdua masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Sementara itu, atlet muda karate Ooi San Hong, 15, dan pemain skuasy, Nur Aliah Izzati Muhammad Anis, 15, masing-masing di­nobatkan Olahragawan dan Olahragawati Harapan.

Pasukan karate lelaki yang di­sertai Hoe Thomsom, Leong Tze Wai dan Emmanuel Leong mengungguli Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik.