Nicol berjaya bangkit untuk mengikat Massaro dengan kedudukan 2-2 dan mengheret pemain pilihan ketujuh kejohanan hingga ke set penentuan namun akhirnya tumpas 10-12, 8-11, 11-7, 11-8, 7-11 dalam pertarungan sengit selama hampir sejam.

Sebelum ini, kedua-dua pemain itu bertembung dalam Terbuka China yang berpihak kepada Nicol, manakala Massaro membalas dendam ke atas juara dunia lapan kali tersebut dalam Terbuka NetSuite di San Francisco penghujung September lalu.

“Satu lagi pertarungan se­ngit dengan Laura Massaro dan saya berjuang habis-habisan hari ini. Saya akhirnya tewas 2-3, tetapi saya amat menghargai komen yang diberikan oleh Laura selepas perlawanan.

“Sekarang sudah tiba masanya saya berehat seketika bagi me­ngumpul kembali tenaga untuk mengharungi kejohanan di Hong Kong November depan,” kata pilihan kesembilan, Nicol yang dipetik kenyataannya menerusi akaun Twitter miliknya.

Kemenangan tersebut membawa Massaro kepada pertemuan dengan Raneem El We­lily dari Mesir dalam suku akhir Jumaat ini setelah pemain No. 2 dunia tersebut mengetepikan wakil tuan rumah Olivia Blatchford 11-7, 12-10, 11-5 dalam masa 32 minit.