Jaguh skuasy dari Pulau Pinang itu mengenepikan saingan empat atlet lelaki yang turut mengharumkan nama negara di pentas dunia, iaitu Sazali Samad (bina badan), Zaqhwan Zaidi (permotoran), Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) dan Lim Chee Wei (karate) yang turut dicalonkan untuk anugerah anjuran SAM itu.

Ini kemenangan ketiga pemain berusia 32 tahun itu selepas me­raihnya 10 tahun lalu dan kali kedua pada 2007. Hadiah berupa sebuah piala dan wang tunai RM10,000 disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada bekas rakan sepasukan Sharon Wee yang mewakili Nicol.

Dalam pada itu, wartawan Astro Publication, Mohd. Rizal Hashim mengungguli Anugerah Utama Kewartawanan Sukan 2014 untuk menerima RM7,000 berserta trofi dan kamera Nikon. Rizal turut memenangi kategori Ulasan Sukan Terbuka sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan RM10,500.

Wartawan sukan Kosmo, Mohd. Ikhsan Firdaus Azmi memenangi kategori Laporan Berita Terbaik Media Cetak dengan artikel bertajuk ‘Sukar cari pengganti Chong Wei’ untuk membawa pulang RM3,500.

Sementara itu, Khairy turut mengucapkan tahniah kepada SAM kerana berjaya membantu meningkatkan mutu kewartawanan negara yang dilihat semakin meningkat dengan menjayakan anugerah seperti ini.

“Saya melihat tahap kewartawanan negara setanding di peringkat antarabangsa, malah mereka menyampaikan berita secara profesional tanpa mengamalkan sikap berat sebelah dan membodek sesetengah pihak.

“Wartawan juga dilihat berani mengkritik secara terbuka dan saya sendiri pun pernah dikritik oleh media namun saya melihatnya dari sudut positif.

“Sewaktu dipilih menjadi Menteri Belia dan Sukan saya pernah berkata media bebas untuk bersuara tetapi perlulah adil dan sehingga kini saya memegang kata-kata tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Khairy turut memuji Nicol apabila berjaya merangkul gelaran Atlet Terbaik SAM, malah beliau menyifatkan pemilihan atlet itu bertepatan kerana dia telah membuktikan dirinya tidak mempunyai saingan di peringkat dunia.

Sementara itu Khairy enggan mengulas lanjut mengenai pemilihan kepimpinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang dijangka kekal diterajui Datuk Abu Samah Abd Wahab tanpa bertanding.

“Saya tidak boleh masuk campur dalam pemilihan persatuan sukan. Saya berharap mereka dapat membuat keputusan yang terbaik untuk PKBM. Tugas kami (KBS) adalah menegur dari segi pentadbiran yang melanggar perlembagaan dan peraturan melalui Pesuruhjaya Sukan,” katanya.

Beliau juga mengulas mengenai penanaman rumput lembu di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan mengharapkan proses pertumbuhannya berjalan dengan lancar selepas usaha mereka sebelum ini menggunakan rumput jenis lain gagal menghasilkan kualiti diharapkan.