Sekalipun usianya sudahpun menginjak ke angka 34 tahun, Datuk Nicol David masih menjadi pemain terbaik Malaysia walaupun dia kini kehilangan ranking No. 1 dunia sejak dua tahun lalu.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai pemain No. 6 dunia itu, melainkan kejayaannya merangkul dua gela­ran pada tahun ini iaitu Kejohanan Skuasy Kebangsaan dan pertandingan Ciudad de Flori­dablanca di Colom­bia.

Seper­ti­ mana dalam sukan badminton, tempat selaku pemain utama negara yang masih men­­jadi milik Datuk Lee Chong Wei, begitu juga dengan Nicol yang boleh dikatakan mene­rima nasib hampir serupa.

Bukan tiada pengganti Nicol, cuma perjalanan beberapa pemain muda yang dilihat memiliki potensi besar masih memerlukan masa untuk berkembang secara konsisten.

Antara pemain muda yang memiliki masa depan cerah ialah S. Sivasangari, Rachel Arnold, Andrea Lee dan Aifa Azman.

Sivasangari yang baharu berusia 18 tahun telah mula menonjolkan potensi dirinya apabila merangkul dua emas pada Sukan SEA dalam acara perseorangan wanita dan beregu campuran.

Anak kelahiran Sungai Pe­tani, Kedah yang menghuni ranking ke-49 dunia itu turut dinobatkan selaku juara Terbuka Malaysia, Oktober lalu dan memenangi Beijing Challenge Cup pada September.

Rachel, 21, yang kini berada di kedudukan No. 45 dunia merangkul gelaran Terbuka Malaysia dan turut membawa pulang satu pingat emas dalam acara beregu wanita.

Adik kepada bekas pemain perseorangan kedua negara, Delia yang membuat keputusan mengejut mengumumkan pesaraannya pada Januari lalu, kini diletakkan selaku pilihan kedua di belakang Nicol.

Malaysia bukan sahaja kehilangan Delia, malah kecede­raan bekas pemain no. 5 dunia, Lau Wee Wern, 27, yang ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) menjadikan skuad skuasy wanita negara sedikit goyah.

Dalam saingan lelaki pula, hanya Ng Eain Yow yang pa­ling menyerlah tahun ini setelah muncul juara Terbuka Australia, November lepas, selain membantu kontinjen Malaysia menyumbang dua pingat emas yang dihasilkan menerusi acara beregu dan perseorangan.

Pemain berusia 19 tahun yang kini berada di ranking ke-54 dunia itu turut me­rangkul gelaran Terbuka NT di Australia, Mei lalu.

Sementara itu, dua pemain senior iaitu Mohd Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen gagal melakar sebarang pencapaian membanggakan tahun ini, melainkan kedua-dua mereka bertembung sesama sendiri pada final Kejohanan Skuasy Kebangsaan yang berpihak kepada Ivan.