Kebanjiran ramai atlet yang mengambil bahagian dalam 17 jenis sukan atlet normal dan empat atlet para itu meletakkan negara Asia Selatan tersebut sebagai penganjur terbesar temasya setakat ini.

Sukan yang dipertandingkan adalah memanah, akuatik, olahraga, badminton, tinju, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, bola jaring, ragbi 7-se­belah, menembak, skuasy, pingpong, tenis, angkat berat dan gusti manakala atlet para hanya bertanding dalam olahraga, renang, powerlifting dan pingpong.

Walaupun persiapan awal bandaraya itu menerima kritikan hebat dari segi kelewatan menyiap­kan venue dan perkampungan sukan, keselamatan dan soal kebersihan namun sebaik sahaja bermula upacara pembukaan, semua cemuhan yang dilemparkan terpadam begitu sahaja.

Pujian mula dihamburkan kepada New Delhi termasuk daripada Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge yang menyifatkan India sudah berjaya menyediakan asas yang kukuh untuk membida pula pe­nganjuran Sukan Olimpik.

Menjelang upacara penutup, Ketua Persekutuan Sukan Komanwel, Mike Fennel memuji New Delhi sebagai penganjur temasya yang menakjubkan manakala para pemerhati mula menuding jari kepada media sebagai berat se­belah, melakukan penilaian yang tidak adil dan sengaja membuat laporan negatif.

Akhirnya temasya yang berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober itu bukan sahaja menutup tirai dengan jayanya malah turut menutup mulut pengkritik menerusi sambutan hebat yang diterima daripada 71 negara Komanwel.

India yang menjadi negara Asia kedua selepas Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel dan kali pertama menganjurkannya menamatkan cabaran de­ngan mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan mereka iaitu sebagai naib juara keseluruhan di belakang Australia.

Temasya 2010 juga diiktiraf sebagai temasya termahal, mengatasi Melbourne (RM3.66b) empat tahun sebelum itu apabila dikatakan menelan belanja sebanyak AS$11 bilion (RM41b).

Malaysia yang turut mengambil bahagian juga mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan apabila membawa pulang 12 emas sekali gus mengatasi pencapaian 10 emas pada 1998.

Badminton kekal penyumbang terbesar dengan empat emas di­ikuti menembak dan angkat berat masing-masing dua emas dan selebihnya masing-masing satu emas menerusi gimrama, terjun, berbasikal dan skuasy.

Lee Chong Wei mempertahankan emas acara perseorangan lelaki selain Koo Kien Keat-Chin Eei Hui dalam beregu campuran, Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki dan acara berpasukan campuran.

Menembak pula menerusi Bibiana Ng (10m air pistol perseorangan wanita) dan gandingan Nur Suryani Mohd. Taibi/Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (10m air rifel berpasangan wanita) manakala angkat berat menerusi Amirul Hamizan Ibrahim (56kg lelaki) dam Aricco Jumitih (62kg lelaki).

Josiah Ng pula menang emas keirin, Nicol David acara perseorangan wanita skuasy, Pandelela Rinong acara 10 meter platform wanita dan Elaine Koon menerusi gimrama acara tali individu.