Kata Nauraj, kebanyakan peserta di Singapura menjadikan saingan tersebut sebagai praSukan SEA, namun tidak baginya kerana dia hanya akan melakukan lompatan seperti biasa kerana sedar setiap gerakannya bakal dirakam oleh pasukan negara pencabar dalam acara lompat tinggi yang menyertai temasya di Kuala Lumpur, Ogos ini.

Kata atlet itu lagi, saingan yang lebih kompetitif di Kawasaki membuatkannya berazam untuk melepasi ketinggian 2.30 meter me­ngatasi rekod kebangsaan 2.29m.

Catatan 2.30m juga adalah had kelayakan bagi Kejohanan Dunia di London, Ogos ini.

“Bukan saya tidak mahu memberikan 100 peratus di Singapura, sebaliknya saya merasakan Jepun adalah tempat terbaik untuk me­lakukan lompatan lebih tinggi.

“Tumpuan saya kini adalah untuk memperbaharui rekod kebangsaan tetapi bukan di Si­ngapura,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengenalan produk baharu barangan sukan Asics di sini, hari ini.

Rekod kebangsaan acara lompat tinggi masih kekal 2.29m yang dilakukan oleh Nauraj dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singa­pura tahun lalu.

Sementara itu, kata Nauraj, prestasinya kini di tahap terbaik dan segala persiapan bagi menghadapi Sukan SEA 2017 berada di landasan yang betul.

Bagaimanapun, Nauraj tidak mahu terlalu yakin mampu me­nyumbang emas Sukan SEA kerana sedar cabaran sengit bakal diberikan rakan senegara, Lee Hup Wei.

Hup Wei telah menunjukkan peningkatan positif sejak akhir-akhir ini dan telah menewaskan pemegang rekod kebangsaan itu dalam Kejohanan Jemputan Bankstown di Sydney, Australia, Mac lalu.

“Bagi saya Hup Wei masih yang terbaik dan dia telah menewaskan saya di Sydney, sekali gus memerlukan saya bekerja lebih keras lagi,” katanya.

“Dalam Sukan SEA nanti hanya yang terbaik sahaja akan memenangi pingat emas,” katanya lagi.