Kedua-dua atlet terbabit melepasi ketetapan ketinggian kelayakan 2.21 meter di Stadium Carrara. Seramai 20 atlet bersaing merebut tempat ke peringkat akhir dengan 13 daripada mereka melepasinya.

Perlawanan akhir acara lompat tinggi akan berlangsung pada Rabu ini.

Hup Wei, yang akan menjangkau usia 31 tahun pada 5 Mei ini, mengakui amat gembira untuk meloloskan diri ke pentas akhir buat kali kedua di Sukan Komanwel.

“Saya menamatkan saingan di tempat kelima pada edisi di Glasgow empat tahun lalu setelah melepasi ketinggian 2.23m.

“Namun kini saya mahu lebih baik daripada itu di Gold Coast,” kata Hup Wei yang mencatat masa terbaik peribadi 2.28m ketika bersaing di Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Januari lepas.

Sementara itu Nauraj, yang juga atlet Program Podium dengan catatan terbaik peribadi 2.30 berkata, dia sudah mendapat rentak di temasya tersebut dan akan memberikan segalanya di final nanti.

“Temasya ini hadir empat tahun sekali dan sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu.- UTUSAN ONLINE