Danyal digantung Majlis ­Olimpik Asia (OCA) daripada terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan OCA kerana diadapati melanggar Piagam Olimpik yang melarang daripada mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ruangan sosial kumpulan WhatsApp semasa persidangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Pengumuman penggantungan itu dibuat oleh Ketua Pengarah OCA, Husain Al-Musallam menerusi surat bertarikh 18 Ogos lalu kepada MOM dan ia berkuat kuasa serta merta.

Ketika penggantungan itu dibuat, beliau masih memegang jawatan Naib Presiden MOM, namun Danyal tewas dalam pemilihan jawatan Setiausaha Agung dalam mesyuarat 22 Ogos lalu.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, siasatan berhubung isu Danyal akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Disiplin yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, jawatankuasa itu akan dibarisi individu bebas yang berpengalaman dan tidak memiliki sebarang Jawatankuasa Eksekutif MOM.

“Jawatankuasa bebas itu akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu dan mereka juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan isu-isu berkaitan disiplin.

“Kami membuat keputusan untuk jawatankuasa baharu ini menjalankan siasatan berhubung isu Danyal, mereka akan mengkaji dengan teliti dan memberikan laporan penuh kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk diputuskan.

“Buat masa ini kami tidak dapat pastikan tempoh sebenar jawatankuasa ini akan ditubuhkan tetapi saya harap dalam tempoh terdekat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif, di ibu pejabat MOM, di sini semalam.

Danyal merupakan calon Setiausaha Agung MOM untuk penggal 2015-17 tetapi tewas kepada Datuk Low Beng Choo dalam pemilihan yang berlangsung bulan lalu.