Perlawanan akhir itu menjadi tumpuan dunia selepas kemenangan Naomi dibayangi insiden Williams mengamuk kepada pengadil, yang memberi tiga amaran terhadapnya ekoran tindakan jurulatihnya memberi isyarat di tepi gelanggang.

Penonton yang turut bersimpati dengan jaguh AS itu kemudian bertindak mengejek pengadil ketika upacara penyampaian hadiah, menyebabkan Naomi menangis kerana merasakan kemenangannya tidak disenangi oleh peminat Williams.

Mereka turut mengganggu perjalanan perlawanan dengan mengejek pengadil sepanjang saingan berlangsung, namun Naomi kekal fokus biarpun hatinya cukup resah.

“Saya minta maaf kerana pertandingan ini berakhir bukan seperti yang anda (penonton tuan rumah) inginkan,” kata Naomi sambil menangis ketika menerima hadiah sebelum Williams meminta penonton bertenang.

Di sebalik tangisan itu, Naomi yang dilahirkan di Chuo-ku, Osaka tetapi menghabiskan hampir sepanjang hidupnya di AS sebenarnya pernah berdepan stereotaip tentang identiti dan perkauman dalam mengejar impiannya.

Ia gara-gara pemain berusia 20 tahun itu memiliki darah campuran dari dua benua berbeza, yang mana ayahnya berkulit hitam, Leonard Francois dari Haiti manakala ibunya Jepun, Tamaki Osaka.

Perkahwinan ibu bapa Naomi sebenarnya tidak mendapat restu keluarga Tamaki. Ibunya pernah memberitahu kehadiran Leonard dalam keluarga Tamaki dianggap sesuatu yang memalukan.

Jepun antara negara yang mempunyai masalah perkauman. Satu tinjauan yang dibuat Kementerian Kehakiman pada 2016 menunjukkan hampir satu per tiga warga asing mereka menerima perkataan yang bersifat menghina.

Sekitar 40 peratus warga asing mereka juga berdepan diskriminasi ketika menyewa rumah.

Oleh kerana tidak mendapat restu, Tamaki dan Leonard membuat keputusan berpindah ke Osaka. Di kota itulah Naomi dilahirkan. Lebih 10 tahun Tamaki tidak menghubungi keluarganya.

Ayah Tamaki pernah bertemu Naomi ketika berusia 11 tahun, malah tidak bersetuju dengan impian Naomi yang ingin menjadi pemain tenis. Dia berpandangan, tenis adalah hobi, bukan cabang sukan yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun kini hubungan Tamaki dan keluarga besarnya berubah 360 darjah menjadi lebih akrab dan hubungan terjalin erat, malah selepas Naomi menjuarai Indian Wells, datuknya mengirimkan ucapan tahniah dan hadiah.

Dalam satu wawancara bersama media tempatan, dia juga menyatakan rasa bangga kerana dalam diri cucunya mengalir darah Jepun.

Kejayaan Naomi di AS tersebut telah mengubah persepsi masyarakat Jepun dan mereka kini semakin positif dan mendorong untuk menghargai kepelbagaian.

Sejak itu, Naomi juga semakin mendapat tempat di hati rakyat Jepun dengan beberapa syarikat berminat menjadikannya sebagai duta produk dan bintang iklan.

“Saya tak rasa saya orang Amerika.

“Saya faham dan boleh bertutur bahasa Jepun. Saya membesar di tengah pertembungan budaya dari Jepun dan Haiti,” kata Naomi kepada akhbar The New York Times.