Pemain muda negara, Rachael Arnold yang terlebih dahulu turun ke gelanggang tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Carmen Lee menerusi kemenangan straight set 11-1, 11-1, 11-2.

Dia yang hanya mengambil masa selama 17 minit untuk melakar kemenangan ke atas Carmen bakal berdepan seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Ka Yi yang melakar kejutan ke atas Nele Gilis dari Belgium setelah berhempas pulas untuk menang 12-14, 11-7, 6-11, 11-7, 11-6 dalam tempoh 53 minit.

Pemain berusia 21 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia bermain dengan baik, hari ini dan berasa cukup selesa ketika beraksi di dalam gelanggang.

“Esok, saya akan turun beraksi menentang pemain tuan rumah Lee Ka Yi. Saya sedar ini peluang terbaik saya untuk melangkah ke undian utama. Peluang saya agak cerah kali ini. Tetapi saya menjangkakan perlawanan, esok agak sukar,” katanya.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain utama Malaysia, Nafiizwan diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemenangan 11-6, 9-11, 11-3, 12-10 ke atas pemain Kanada, Andrew Schnell dalam masa 58 minit.

Lawan yang bakal menanti Nafiizwan dalam aksi kelayakan kedua ialah pemain Finland, Olli Tuominen yang mengambil masa selama 1 jam, 10 minit untuk mengalahkan Charles Sharpes dari England 9-11, 11-6, 11-7, 11-13, 11-5.

Jika Nafiizwan dan Rachael melepasi halangan masing-masing, esok, maka mereka berdua bakal mengiringi bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David beraksi dalam undian utama yang akan bermula Selasa ini. – UTUSAN ONLINE