Pemain dari Sepanyol, Nadal beraksi dengan cemerlang di Roland Garros apabila menyingkirkan lawannya, Roberto Bautista straight-set 6-1, 6-2, 6-2.

Juara Grand Slam 14 kali itu masih belum tewas walaupun dalam satu set sepanjang enam perlawanan pada dua pusingan terakhir dan Nadal mahu memburu kejuaraan ke-10 dalam kejohanan tersebut.

“Saya gembira sebab Roberto merupakan pemain yang bagus. Penting untuk saya mara ke suku akhir sekali lagi,” kata Nadal yang menyambut hari jadinya yang ke-31 semalam.

Dalam pada itu, juara bertahan, Novak Djokovic dari Serbia bakal ke suku akhir buat kali ke-11 sekiranya dia menyingkirkan pemain dari Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas.

Wakil Jepun, Kei Nishikori pula dipaksa bekerja keras sebelum menundukan pemain kian meningkat dari Korea Selatan, Hyeon Chung sebelum mara ke pusingan keempat.

Pemain pilihan kelapan itu mendahului pada dua set pertama sebelum Chung bangkit pada set ketiga dan keempat ketika perlawanan yang berlangsung dalam hujan. Nishikori mencatat kemenangan 7-5, 6-4, 6-7 (4/7), 0-6, 6-4 ke atas Chung.

“Saya fikir hujan banyak membantu saya sebab moral saya jatuh pada set keempat dan keadaan mental saya yang tidak bersedia. Saya tahu saya perlu mengubah corak permainan untuk menewaskannya hari ini jadi saya melakukan beberapa perubahan untuk bermain dengan lebih baik berbanding semalam,” kata Nishikori.

Sementara itu, bekas pemain No. 1 dunia dari Denmark, Wozniacki menjadi pemain wanita pertama mara ke suku akhir selepas menewaskan Kuznetsova dari Rusia 6-1, 4-6, 6-2.

“Svetlana pemain yang hebat, terutama di atas gelanggang tanah liat jadi saya tahu ini bukan perlawanan yang mudah,” kata Wozniacki. - AFP