Jaguh Sepanyol itu percaya, penganjur memberi keistimewaan kepada pemain tuan rumah yang juga penyandang juara, Andy Murray serta juara tujuh kali dari Switzerland, Roger Federer.

Nadal, juara 2008 dan 2010 diminta beraksi di Gelanggang Satu berbanding venue kegemarannya, Gelanggang Utama yang diberikan kepada Murray dan Federer.

Ketika ditanya sama ada dia akan kembali ke Wimbledon tahun depan selepas tewas 3-6, 4-6, 6-3, 6-4, 13-15 kepada pemain veteran Luxembourg, Muller, Nadal membalas: ”Saya tidak pernah kata saya tidak akan kembali tetapi saya mahu bermain lebih banyak di Gelanggang Utama. Saya suka bermain di Gelanggang Utama.

“Namun apa yang saya lihat, orang yang hampir sama diberi peluang bermain di sini. Inilah realitinya.

“ Ramai antara kami yang memenangi banyak gelaran, kami memiliki banyak sejarah dan penganjur tidak sepatutnya meletakkan pemain yang sama di gelanggang istimewa.

“Dalam kejohanan penuh tradisi dan istimewa seperti Wimbledon, mereka tidak sepatutnya meletakkan pemain yang sama di Gelanggang Utama dan menyenaraikan pemain-pemain lain di gelanggang lain,” kata Nadal.

Murray dan Federer beraksi di Gelanggang Utama dalam semua empat perlawanan mereka manakala Nadal hanya berpeluang beraksi dua kali dan Novak Djokovic, tiga kali.

Kempen Nadal, 30, dalam kejohanan tenis tertua itu berakhir dalam masa empat jam, 48 minit selepas tumpas kepada pemain No. 26 dunia berusia 34 tahun, Muller, sekali gus meleburkan impiannya untuk memburu kemenangan ketiga.

Gara-gara pertarungan Nadal-Muller berakhir lewat, pertemuan Djokovic dan pemain Perancis, Adrian Mannarino terpaksa ditangguhkan ke keesokan hari.

Sementara itu, Murray melangkah ke suku akhir buat kali ke-10 berturut-turut setelah melakar kemenangan 7-6 (7/1), 6-4, 6-4 ke atas pemain Perancis, Benoit Paire. Pemain No. 1 dunia itu bakal berdepan Sam Querrey untuk merebut slot separuh akhir.

Hanya Federer dan Jimmy Connors (11 kali) berjaya mara ke suku akhir lebih daripada Murray.

Federer melangkah ke suku akhir kejohanan Grand Slam buat kali ke-50 dan Wimbledon ke-15 selepas menundukkan Grigor Dimitrov 6-4, 6-2, 6-4.

Bintang tenis Switzerland itu akan bertemu Milos Raonic, naib juara 2016, selepas pilihan keenam dari Kanada tersebut meraih kemenangan 4-6, 7-5, 4-6, 7-5, 6-1 ke atas Alexander Zverev dari Jerman. – AGENSI