KOMBINASI gambar yang memaparkan Rafael Nadal di samping 11 trofi Terbuka Perancis yang pernah dimenanginya sejak 2005 sehingga 2018 di Roland Garros, Paris. - AFP

“Pada usia saya ini, saya menyangkakan bahawa saya telahpun bersara dan memiliki sebuah keluarga,” kata Nadal kepada akhbar sukan Sepanyol, Marca.

Nadal, yang mengekalkan ranking No. 1 dunia selepas merangkul kejayaan di Paris, turut terkejut bahawa dia dan seteru lamanya, Roger Federer, 36, masih lagi mampu mendominasi dalam saingan lelaki.

Kedua-dua bintang berkenaan sebelum ini seperti sudah berada di hujung karier selepas mereka tidak dapat bermain ekoran dilanda kecederaan pada 2016, tetapi sejak 18 bulan lalu, kesemua enam gelaran pada pertandingan utama dimenangi sama ada Federer ataupun Nadal.

Sewaktu Federer menewaskan Nadal pada perlawanan akhir Terbuka Australia 2017, pemain Switzerland itu menamatkan kemarau gelaran Grand Slam selama lima tahun. Nadal turut menyangka zaman kegemilangannya telahpun berakhir apabila gagal mencipta sebarang pencapaian pada kejohanan besar sepanjang 2015 dan 2016.

“Memang mengejutkan kerana sebelum 2017, saya gagal memenangi sebarang gelaran Grand Slam dan kalau tidak silap dia (Federer) juga gagal berbuat demikian sejak 2012.

“Sudah tentu ia merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana apabila anda sudah terlalu lama tidak memenangi sebarang pertandingan, anda tidak akan terfikir yang anda mampu untuk mengulangi pencapaian cemerlang itu sekali lagi,” tambah Nadal.

Kemenangan Nadal, Ahad lalu telah menyaksikannya merangkul gelaran Grand Slam buat kali ke-17, iaitu hanya kekurangan tiga trofi di belakang Federer yang kini sudahpun mencipta rekod 20 kemenangan pada pertandingan utama. - REUTERS