Namun lebih mengejutkan apabila pilihan pertama kejohanan, Rafael Nadal dari Sepanyol kalah mengejut di tangan pemain muda tidak ternama dari Kanada, Denis Shapovalov yang menang 3-6 6-4 7-6.

Kekalahan Nadal itu sekaligus memusnahkan impian peminat tenis untuk menyaksikan satu lagi perlawanan epik dengan Federer yang akan menjangkau usia 36 tahun minggu ini di sini.

Mujur Federer tidak turut tersingkir selepas kalah di set pertama gara-gara banyak menghantar bola keluar. Bagaimanapun pemain Switzerland itu menebus kesilapan dengan memperbaiki permainannya di set kedua dan ketiga.

Namun Ferrer walaupun kalah masih boleh berbangga kerana berjaya menamatkan rekod bersih 32 set tanpa kalah Federer. Kali terakhir Federer kalah ialah kepada Tommy Haas pada Terbuka Stuttgart 14 Jun lalu.

Kemenangan Federer itu membolehkannya menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut yang terdahulu menewaskan pemain Perancis, Gae Monfils 4-6, 7-6, 7-6.

Lain-lain pemain yang mara ke suku akhir adalah Adrian Mannarino (Perancis), Alexander Zverev (Jerman), Robin Haase (Belanda) yang mengejutkan Grigor Dimitrov, Diego Schwartzman (Argentina) dan Kevin Anderson (Afrika Selatan). – Reuters