Pemain No. 1 dunia itu mengalahkan pencabar dari Afrika Selatan yang meng­huni ranking ke-32 dunia Kevin Anderson 6-3, 6-3, 6-4 dalam perlawanan akhir berat sebelah, yang turut menyaksikan bintang Sepanyol itu tidak perlu berdepan mata break.

Nadal turut memenangi Terbuka Perancis buat kali ke-10 yang belum penah dilakukan mana-mana pemain sebelumnya pada Jun lalu, selepas dia muncul selaku naib juara kepada Roger Federer dalam Terbuka Australia.

“Berhubung pencapaian, sudah tentu ini merupakan salah satu penampilan terbaik dalam karier saya,” kata Nadal yang turut merangkul dua gelaran Grand Slam dalam tempoh setahun buat kali keempat sepanjang karier­nya.

Sekiranya dia mengatasi rekod pencapaian Gilles Muller di Wimbledon, di mana Nadal tewas dalam set ter­akhir 15-13 pada pusingan keempat, kejayaan yang di­ciptanya sepanjang tahun ini pasti lebih diingati.

“Saya telah memenangi gelaran, bermain dalam tiga final Grand Slam, jadi ini merupakan satu pencapaian yang cemerlang. Untuk berada di tahap ini amat sukar. Dalam satu lagi Grand Slam saya gagal untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, saya tumpas 15-13 pada set kelima dalam perjalanan saya ke suku akhir.

“Jadi, tahun ini merupakan tahun kompetitif buat saya. Begitu juga di atas gelanggang tanah liat. Sudah tentu musim ini amat beremosi kerana saya telah mengharungi begitu banyak pengalaman memeritkan ekoran dibelenggu kecedera­an,” jelas Nadal.

Kemenangan Nadal hari ini merupakan satu catatan epik terbaharu yang me­nyaksikan dominasi seorang pemain yang bergelar superstar.

Bermula dengan Wimbledon pada 2003, sebanyak 53 daripada 58 gelaran Grand Slam telah dimenangi oleh hanya lima pemain lelaki iaitu Federer (19), Nadal (16), Novak Djokovic (12) manakala Andy Murray dan Stan Wawrinka masing-masing merangkul tiga gelaran.

Hanya Andy Roddick, Gaston Gaudio, Marat Safin, Juan Martin del Potro dan Marin Cilic yang berjaya memecah dominasi pemain-pemain hebat tersebut. – AFP