Bintang tenis Sepanyol berusia 31 tahun itu yang juga juara 2010 serta 2013 bakal beraksi buat kali ke-23 di pentas final Grand Slam dan yang ketiga tahun ini dengan misi menambah koleksi kejua­raan Terbuka AS.

Nadal bagaimanapun perlu melepasi halangan terakhirnya esok iaitu pemain ranking ke-32 dunia, Kevin Anderson - pemain Afrika Selatan pertama mara ke final Terbuka AS dalam tempoh 52 tahun.

Anderson, 31, melayakkan diri ke perlawanan akhir Grand Slam buat kali pertama selepas mengetepikan rakan senegara Nadal, Pablo Carreno Busta 4-6, 7-5, 6-3, 6-4.

Menurut Nadal, kunci utama kejayaannya menumbangkan ja­guh Argentina, Del Potro adalah perubahan taktikal yang dilakukan selepas tamat set pembukaan.

“Saya bermain terlalu banyak ke pukulan kilasnya dan saya rasa dia sudah sedia menunggu saya di sana. Jadi, saya menukar taktik dan ia memberi kesan positif.

“Saya membuatkan dia lebih banyak bergerak dan menjadikan permainan lebih sukar untuk dibaca,” kata Nadal yang mencatat kemenangan ke-15 ber­turut-turut dalam separuh akhir Grand Slam.

Walaupun mempunyai rekod cemerlang ke atas Anderson de­ngan memenangi kesemua empat pertemuan sebelum ini, namun Nadal enggan memandang rendah kemampuan lawannya di pentas final itu.

“Dia seorang pemain yang bahaya dengan pukulan servis yang baik dan bermain dengan bagus di permukaan ini (gelanggang keras). Saya mengena­linya sejak kami berusia 12 tahun.

“Dia mengalami banyak kecederaan tetapi kebangkitannya cukup menakjubkan. Kevin adalah contoh terbaik untuk pemain-pemain lain,” kata Nadal. AFP