Jaguh tenis Sepanyol itu tiba di Roland Garros sebagai pilihan untuk menambah koleksi kejuaraan yang pernah dimenanginya pada 2005, 2006, 2007, 2008, 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014.

Dia menunjukkan prestasi baik di gelanggang tanah liat tahun ini dengan menjuarai Masters Monte Carlo, Barcelona dan Madrid.

Nadal memiliki rekod yang menakjubkan di Roland Garros dengan memenangi 72 perlawanan dan hanya kalah dua kali, termasuk kepada Novak Djokovic pada 2015 dan ketika dihimpit kecederaan sebelum kalah di tangan Robin Soderling pada 2009.

Ketiadaan Roger Federer, 35, pemain paling tua dalam kalangan lima pemain terbaik dunia menjadikan penyandang juara, Djokovic (30 tahun), pemain No. 1 dunia, Andy Murray (30) dan Nadal sebagai calon utama untuk menjuarai kejohanan.

“Berjaya memenangi tiga kejohanan sebelum Roland Garros bermula adalah satu pencapaian yang bagus.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting, saya sudah kembali ke prestasi terbaik sebelum tiba di Paris dan bersedia menghadapi Terbuka Perancis,” kata Nadal, yang bakal menyambut ulang tahun ke- 31 pada 3 Jun ini. – AFP