Pemain No. 1 dunia dari Sepanyol itu melangkah ke separuh akhir buat kali ketujuh dan berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran Terbuka AS keempat serta Grand Slam ke-18 sepanjang kariernya.

Begitupun Nadal, 32, bernasib baik tidak menjadi mangsa terbaru cuaca panas di Flushing Meadows, iaitu 24 jam selepas Roger Federer disingkirkan pemain bukan pilihan, John Millman.

“Saya bergelut, itu perkataan paling sesuai.

“Saya beritahu Dominic, saya minta maaf (mengheretnya dalam pertarungan lebih empat jam).

“Dia seorang yang baik dan kami adalah rakan rapat. Saya percaya dia berpeluang untuk meraih lebih banyak gelaran selepas ini,” kata Nadal, yang diheret dalam aksi paling panjang sepanjang kariernya.

Nadal menewaskan Thiem pada final Terbuka Perancis, Jun lalu tetapi pertemuan hari ini adalah yang pertama buat kedua-dua pemain di luar gelanggang tanah liat.

Kata Nadal lagi, yang merupakan juara Terbuka AS 2017, 2013 dan 2010, semangat juang tinggi yang ditunjukkan Thiem menjadikan keadaan bertambah sukar buatnya.

Dalam set akhir yang berlangsung penuh dramatik, Nadal dipaksa mengharungi lima mata break, selain melakukan 58 kesilapan sendiri sepanjang permainan.

“Perlawanan ini akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya, sudah tentu.

“Kadangkala tenis sangat kejam kerana saya percaya, tiada siapa yang berhak kalah selepas bertarung dengan begitu sengit. Malangnya, ada seorang yang perlu meninggalkan gelanggang sebagai orang yang tewas,” ujar Thiem.

Nadal kini akan berdepan pilihan ketiga dan juara 2009, Juan Martin del Potro dari Argentina pada separuh akhir. – AFP