Sambil menolak untuk menjawab soalan berhubung peluangnya merangkul kejuaraan ke-10 Terbuka Perancis pula, Nadal lebih suka bercakap mengenai kejohanan yang mahu disertainya satu persatu selepas ini berban­ding bercerita mengenai impian yang belum pasti.

“Kejohanan seterusnya bukan Roland Garros tetapi Barcelona. Saya belum lagi memikirkan mengenai Terbuka Perancis. Itu kemudian. Tetapi yang penting sekarang adalah kejohanan sete­rusnya.

“Saya tidak pernah ambil mudah kejohanan di Monte Carlo, Barcelona, Rom dan Madrid. Ini penting. Hanya selepas itu barulah Roland Garros,” katanya selepas menewaskan rakan se­negara Albert Ramos-Vinolas 6-1, 6-3 untuk merangkul kejuaraan Masters Monte Carlo dalam masa 76 minit.

Nadal, 30, menjuarai Masters Monte Carlo lapan tahun berturut-turut dari 2005 hingga 2012 sebelum tewas kepada Novak Djokovic dalam perlawanan akhir 2013.

“Memang macam tidak percaya. Untuk menang sebanyak 10 kali dalam kejohanan penting seperti Monte Carlo ini bukanlah mudah untuk digambarkan. Setiap tahun membawa perasaan yang berbeza,” tambah Nadal.

Bagi Ramos-Vinolas, 29, yang sebelum ini berjaya mengejutkan pemain No. 1 dunia Andy Murray dalam pusingan ketiga dan Marin Cilic di suku akhir, dia sedar gagal memberikan tentangan yang bermakna kepada Nadal.

“Nadal sedikit lebih baik daripada saya dari semua segi. Di­sebabkan kelebihannya itu, anda boleh saksikan apa yang berlaku dalam perlawanan akhir tadi.

“Bukan mudah beraksi dalam final apatah lagi menentang pemain seperti Rafael Nadal. Dia lebih bertenaga daripada saya. Cuaca juga tidak memihak kepada saya,” kata Vinolas. – AFP