Begitupun, di sebalik ‘kegagahannya’ di gelanggang tenis, ramai yang tidak tahu bahawa atlet kelahiran Majorca, Sepanyol seorang yang penakut.

Terlalu banyak perkara yang menakutkan Nadal dalam kehidupan sehariannya seperti anjing, bunyi kilat, gelap, air dalam dan menunggang basikal.

Nadal, 31, adalah wajah yang sering tersiar bersama jenama global seperti Nike, Bacardi, Kia Motors, Quely, Armani Jeans dan pengeluar jam tangan elit dunia, Richard Mille, malah turut memiliki saham dalam kelab Mallorca.

Dia turut memiliki kediaman mewah di Mallorca serta vila di Porto Cristo dan Repulik Dominika.

Nadal juga sangat menyayangi adiknya, Maribel dan keakraban mereka membuatkan dia menghubungi adiknya atau menghantar pesanan sekurang-kurangnya 10 kali sehari.

Adiknya juga memberitahu, abangnya bukan seorang yang begitu berani seperti di dalam gelanggang kerana banyak perkara yang ditakutinya.

“Dia seorang yang penakut, dia takut bunyi kilat, air yang dalam serta anjing, bukan itu sahaja dia juga takut menaiki basikal dan lebih gemar tidur dengan lampu menyala.

“Dia juga tidak gemar keju dan tomato, baginya ia adalah makan yang pelik tetapi dia suka makan biskut coklat,” kata Maribel.

Nadal mempunyai teman wanita yang dikenalinya sejak zaman kanak-kanak di Mallorca, Maria Francisca Perello yang hanya akan hadir sekali-sekala pada kejohanan yang disertainya.

“Dia memerlukan ruang ketika bertanding dan untuk saya, berada berhampirannya sepanjang hari semasa kejohanan akan membuatkan saya penat.

“Sekiranya saya mengikutinya setiap masa, ada kemungkinan besar kami akan berpisah,” kata Perello.

Walaupun sudah mencecah usia 31 tahun, Nadal masih hebat di gelanggang apabila memahat sejarah muncul juara Terbuka Perancis kali ke-10, baru-baru ini.