Jurulatihnya Ahmad Mustha­kim Kamarukman berkata, hanya Myanmar yang mungkin menjadi batu penghalang utama anak-anak buahnya manakala kemampuan Thailand dianggap seimbang dengan pasukannya.

“Sasaran kami ialah cuba mara ke perlawanan akhir namun jika dapat pingat emas, saya anggap satu bonus untuk pasukan.

“Walaupun sudah dua Sukan Para ASEAN lalu kami tidak menyertai, saya yakin persefahaman pasukan kami mantap,” katanya dalam sidang akhbar Kita Juara di sini hari ini, yang turut dihadiri pengurus pasukan Margaret Durant Chundang.

Hanya menyulitkan me­reka, katanya, ialah untuk mendapatkan perlawanan persahabatan dengan lawan kurang upaya dan bermain secara duduk.

“Kebanyakan lawan kami sebelum ini ialah pasukan normal seperti dari Melaka dan beberapa lagi yang bimbang tercedera jika bermain secara duduk dan mengengsot.

“Namun kami tiada masalah dengan penyesuaian diri dengan taraplex yang akan digunakan dalam Sukan Para ASEAN. Sebelum ini latihan dilakukan di atas permukaan kayu dan jubin,” katanya.

Sementara itu, skuad tenis berkerusi roda meletakkan sasaran dua daripada tiga emas yang dipertandingkan dengan sandaran mereka ialah Azman Hassan, 51, juara temasya di Solo pada 2011.

“Sudah enam tahun tenis berkerusi roda tidak dipertan­dingkan iaitu di Myanmar 2013 dan Singapura 2015. Di Solo kami berjaya raih sebutir emas, sebutir perak dan sebutir gangsa.

“Pendedahan pertandi­ngan un­tuk pemain agak banyak antaranya di Jepun dan Korea Selatan hingga Jun lalu. Sandaran lain kami ialah Abu Samah Borhan yang juga pemenang gangsa di Solo,” kata jurulatih Mohd. Nadir Mohd. Ashraf.