Murray jelas cemas apabila lawannya menang di set kedua namun pengalaman menjadikan pemain Britain itu lebih tenang untuk mengharungi baki dua set berikutnya apabila dengan mudah menjinakkan Kuznetsov.

“Dia menggunakan pukulan terbaiknya dan bermain dengan agresif sekali. Permainan dari garisan belakangnya sangat bagus malah bola yang dipukulnya sentiasa rendah,” kata Murray yang akan menentang pemain Slovakia, Martin Klizan selepas ini.

Bagaimanapun nasib berbeza dialami pemain yang dikatakan berpotensi untuk muncul juara di sini iaitu Alexander Zverev dari Jerman apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama selepas tunduk kepada pemain lebih berpengalaman dari Sepanyol, Fernando Verdasco.

Status Zverev, 20, sebagai pemain yang pernah menewaskan Novak Djokovic di Masters Rome sebelum ini ternyata bukan jaminan untuk dia beraksi baik di sini apabila tumpas 4-6, 6-3, 4-6, 2-6 kepada pemain 13 tahun lebih tua daripadanya.

“Saya yang bermain teruk hari ini, Itu sebab saya kalah. Namun hidup perlu diteruskan. Ia bukan satu tragedi kerana di Rome saya bermain bagus tetapi di sini saya tewas di pusingan pertama. Itulah kehidupan,” katanya.

Turut mara ke pusingan kedua adalah pemain pilihan ketiga dari Switzerland, Stan Wawrinka yang menewaskan pemain kelayakan dari Slovakia, Jozef Kovalik 6-2, 7-6, 6-3. Begitu juga dengan Kei Nishikori yang menewaskan pemain Australia, Thanasi Kokkinakis 4-6, 6-1, 6-4, 6-4. – AFP