Pemenang dua kali Wimbledon itu, sebelum ini terpaksa menimbangkan baik dan buruk pembedahan tersebut, yang mana ia turut membabitkan proses meletakkan kepingan logam di pinggulnya, dalam usaha menyelamatkan karier Murray yang kerap dibelenggu kecederaan.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik berusia 31 tahun itu pernah berkata menjelang Terbuka Australia, awal bulan ini, bahawa dia berhasrat untuk bersara selepas Wimbledon edisi 2019.

“Saya menjalani pembedahan pelapisan semula pinggul saya di London, pagi semalam, saya berasa sedikit kurang selesa, tetapi amat berharap pembedahan ini akan mengakhiri kesakitan yang saya tanggung selama ini,” kata Murray menerusi akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun, tiada jaminan bahawa pembedahan tersebut membolehkan Murray kembali beraksi sekali lagi, tetapi ia sudah pasti dapat membantu pemain itu bebas daripada belenggu kesakitan.

Pada Terbuka Australia, Murray mempamerkan semangat juang dan bakat yang dimilikinya untuk terus bertarung selama lima set sebelum tumpas kepada Roberto Bautista-Agut.

Selepas perlawanan itu, telah mendorong Murray membuat kenyataan, dia sanggup melakukan apa sahaja bagi memanjangkan kariernya, tetapi menerusi pembedahan yang dijalaninya, semalam, pemain itu tidak mungkin sempat cergas untuk aksi di Wimbledon, di mana dia menyimpan hasrat mengucapkan selamat tinggal kepada sukan tenis.

Pembedahan, semalam, merupakan yang kedua dijalani Murray selepas kali pertama berbuat demikian 12 bulan lalu, gagal membebaskan pemain itu daripada kesakitan di bahagian pinggul. - AFP