Pemain berusia 31 tahun itu, menjalani pembedahan pelapisan semula bahagian pinggulnya, hujung Januari lalu, dalam usaha terakhirnya bagi mengatasi kecederaan serius yang dialami sejak 2017.

Pembedahan tersebut dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pemain itu, dengan Murray mendedahkan bahawa dia berdepan kesukaran memakai stokin dan kasutnya sendiri, tetapi tidak menolak kemungkin akan kembali beraksi.

“Keadaannya agak baik. Pembedahan yang dijalaninya masih belum terlalu lama dan hanya masa yang akan menentukan. Tiada siapa yang tahu, bagaimana dia akan pulih untuk jangka masa yang panjang. Dari segi mental, semua berada dalam keadaan baik.

“Tetapi saya beritahu anda, kalau orang lain boleh lakukannya, dia juga boleh berbuat demikian. Murray sedia serahkan hati dan jiwanya untuk pulih,” kata Judy Murray kepada Sky Sports.

Bekas pemain No. 1 dunia itu, membuat pengumuman dalam sidang akhbar menjelang Terbuka Australia, Januari lalu, apabila dia merancang untuk bersara selepas Wimbledon, tetapi harapannya kembali menyala apabila dia masih mampu bertarung sehingga lima set sewaktu tewas kepada Roberto Bautista Agut pada pusingan pertama.

Tiada pemain yang pernah menjalani pembedahan sama dapat meneruskan aksi mereka dalam acara perseorangan, tetapi pemain Amerika Syarikat, Bob Bryan, baru-baru ini, kembali dalam acara beregu dan memenangi gelaran Jelajah ATP di Delray Beach, bulan lalu bersama saudara kembarnya, Mike.

Bryan berkata di Australia bahawa dia tidak lagi berada dalam kesakitan dan menyokong Murray mengikut jejak langkahnya melakukan penampilan semula. - AFP