Anugerah Kesatria yang diterima Murray merupakan hadiah paling indah buat pemain Scotland itu, setelah dia menamatkan musim ini selaku pemain tenis No. 1 dunia buat kali pertama selepas menamatkan dominasi Novak Djokovic untuk satu tempoh yang agak lama.

Pemain berusia 29 tahun itu merangkul gelaran Wimbledon buat kali kedua, Julai lalu sebelum mempertahankan pingat emas Olimpiknya dan kemudian melakar kejayaan sulung pada Jelajah Akhir ATP setelah mengetepikan Djokovic.

Murray yang sebelum ini pernah dianugerahkan OBE pada 2012, buat kali pertama bergelar seorang bapa, Februari lalu, selain dipilih sebagai Personaliti Sukan BBC buat tahun ketiga berturut-turut, awal bulan ini.

“Ini merupakan anugerah tertinggi yang anda boleh terima di negara ini. Tetapi saya berasakan, saya terlalu muda untuk menerima anugerah seumpama ini,” kata Murray sebelum pengumuman penganugerahan itu dibuat pada Jumaat.

Turut menerima penghormatan sama ialah Farah, selepas dia mengekalkan pingat emas Olimpik dalam acara larian 5,000 meter (m) dan 10,000m di Rio, Brazil untuk muncul atlet olahraga pertama Britain memenangi empat pingat emas.

Atlet kelahiran Somalia berusia 33 tahun itu telahpun dianugerahkan gelaran CBE atas kejayaannya di London 2012.

Seorang lagi atlet olahraga Britain yang turut menerima penghormatan ialah jaguh heptathlon Britain, Jessica Ennis-Hill and atlet sukan mendayung, Katherine Grainger, yang mana kedua-dua mereka mengumumkan persaraan selepas Olimpik Rio mendapat gelaran Dame. – AFP