Jaguh tenis No. 1 dunia itu, yang akan memulakan kempen dengan menentang pemain Slovenia, Aljaz Bedene bakal menikmati 347,000 pound (RM1.88 juta) sekiranya berjaya mempertahankan kejuaraan yang pernah dimenangi lima kali.

Hasrat Murray itu disahkan oleh sumber penganjur kejohanan, namun pihak pengurusan pemain Britain tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Murray, 30, memang terkenal dengan sifat pemurah dan se­ring melakukan kerja-kerja amal sepanjang kariernya, termasuk membantu pelbagai acara yang dianjurkan bertujuan mengumpul dana atau menghulur derma secara peribadi.

Penganjur Kejohanan Aegon sendiri dikatakan sedia menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di London minggu lalu, yang dipercayai telah me­ngorbankan 79 nyawa setakat ini.

Pada 2013, Murray pernah menderma 73,000 pound (RM396,000) kepada Royal Marsden Hospital selepas rakan baik­nya, Ross Hutchins dirawat di hospital berkenaan akibat kanser darah Limfoma Hodgkin (HL).

Murray juga beraksi dalam perlawanan amal bersama jurulatihnya, Ivan Lendl, selain Tim Henman serta Tomas Berdych pada hujung tahun lalu bagi tujuan mengutip derma untuk pesakit barah.

Pada Disember lalu, Murray terlibat dalam ‘Rally for Bally’ iaitu acara amal bertujuan untuk mengutip derma bagi pesakit barah.

Dia berjaya mengutip lebih 50,000 pound (RM272,000) dalam majlis yang diadakan sebagai memperingati bekas pemain tenis No. 1 Britain, Elena Baltacha, yang meninggal dunia akibat barah hati pada usia 30 tahun. – AGENSI